Weekly Industry News

HOC patut diteruskan

Weekly Industry News

Adakah HOC memberi impak yang besar kepada pasaran hartanah?

Kempen HOC ini secara tidak langsung memberi sedikit kelegaan kepada pasaran hartanah yang mengalami kelembapan beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana kebanyakan pembeli sebelum ini mengambil langkah tunggu dan lihat serta membuat pertimbangan sebelum membuat keputusan membeli hartanah. Dengan adanya HOC, pemaju bukan sahaja menawarkan pakej menarik malah pembeli juga menikmati insentif yang memberi lebih banyak penjimatan.

Permintaan terhadap hartanah bertanah masih tinggi, adakah UEM Sunrise memiliki bank tanah mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran?

Permintaan bagi hartanah bertanah masih lagi tinggi, tidak kurang juga bagi rumah bertingkat tinggi. Ia bergantung kepada lokasi dan pasaran pembeli itu sendiri. Sebagai contoh, mereka yang berusia 40 tahun ke atas, memiliki keluarga dan dalam tempoh persaraan lebih suka memiliki hartanah seperti rumah teres atau berkembar yang jauh daripada pusat bandar. Berbanding golongan yang baru memulakan kerjaya dan bujang lebih selesa untuk tinggal di apartmen atau studio di tengah-tengah bandar.

Apakah antara ciri-ciri pembangunan yang menjadi identiti UEM Sunrise?

UEM Sunrise sendiri menitikberatkan pembangunan holistik dan bersepadu dalam sesebuah projek yang dibangunkan. Sebagai contoh, pembangunan di Serene Heights merangkumi kawasan seluas lebih 181.3 hektar dan merupakan pembangunan perbandaran bersepadu yang terancang dengan mengambil kira keperluan pasaran pada masa hadapan. Kawasan ini dilengkapi dengan zon hijau seluas 10.11 hektar yang dinamakan sebagai Creekside Parkland merangkumi 1.3 kilometer laluan air, 3.5 kilometer laluan berbasikal dan berjoging dengan landskap yang menarik. Projek ini seakan melengkapi kehidupan penduduk di Serene Heights.

Pemilikan rumah masih lagi menjadi isu terutama dalam kalangan M40 yang tinggal di bandar-bandar besar. Adakah UEM Sunrise mengambil inisiatif memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan ini?

Rumah mampu milik bagi saya ia adalah suatu yang subjektif, ia juga bergantung kepada faktor utamanya iaitu lokasi. Mampu milik di Alor Setar, mi­salnya tidak sama dengan mampu milik di Kuala Lumpur. Jadi terma mampu milik itu sendiri agak sukar untuk didefinisikan. Tetapi sebagai pemaju yang bertanggungjawab, UEM Sunrise ada bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan rumah berharga kurang ­daripada RM300,000 di beberapa lokasi seperti di Johor dan Kuala Lumpur.

Jangkaan pasaran hartanah untuk tahun ini?

Pasaran dijangka kekal mendatar namun jualan masih lagi berlangsung cuma jumlahnya tidak serancak dahulu. Tetapi, ia bergantung juga dengan lokasi serta penawaran yang diberikan. Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan, jika tidak untuk tempoh sepanjang tahun pun biarlah ia dijadikan acara tahunan dalam usaha meningkatkan pemilikan dan memudahkan orang ramai memiliki rumah.

Syarat-syarat utama insentif HOC 2019

  • Pembeli merupakan rakyat Malaysia.
  • Jualan perlu dimuktamadkan antara 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019.
  • Diskaun 10% dikecualikan untuk rumah harga terkawal, sama ada ia sudah sedia dibina, ataupun rumah baharu
  • Pengecualian duti setem 100% ke atas surat cara pembelian rumah bagi RM1 juta pertama nilai rumah tersebut. Baki selebihnya adalah tertakluk kepada kadar 3%.
  • Pengecualian duti setem 100% ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai melebihi RM300,000 sehingga RM2.5 juta.

Media Title: Utusan Malaysia

Date: 27 May 2019

Photo Credit

We take processes apart, rethink, rebuild, and deliver them back working smarter than ever before.