Segmen pinjaman perumahan kekal menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan kredit untuk institusi perbankan selari dengan usaha bank tempatan dalam menyokong pemilikan rumah.
Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, dari Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah pinjaman perumahan yang diluluskan bernilai RM113 bilion.
Beliau berkata, pinjaman perumahan itu dapat dimanfaatkan 260,000 pembeli rumah, berbanding 248,000 pembeli pada tempoh sama antara 2016 hingga 2018.
“Hampir 50 peratus pinjaman baharu diluluskan dalam kalangan pembeli rumah pertama mewakili 127,000 peminjam.
“Malah, 88,000 peminjam atau 69 peratus membeli hartanah berharga bawah RM500,000 dan 48,000 peminjam atau 38 peratus untuk harga rumah bawah RM300,000.
“Secara keseluruhannya, 70 peratus pendapatan institusi perbankan dirangsang aktiviti segmen pembiayaan dan pinjaman perumahan penyumbang tertinggi,” katanya pada taklimat media Hutang Isi Rumah dan Pembiayaan Rumah di Malaysia oleh BNM di sini, semalam.
Qaiser Iskandar berkata, kedudukan kewangan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan meskipun paras agregat hutang meningkat.