Proses penggabungan dalam kalangan pemaju wajar dilaksanakan memandangkan jumlahnya yang dilihat terlalu tinggi dalam industri hartanah tempatan ketika ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata beliau percaya jika perkara itu tidak dilaksanakan, maka ia boleh menyebabkan pemaju saling memusnahkan diri antara satu sama lain.
“Jika saya meletakkan diri sebagai pemerhati dan bukan CEO syarikat, penggabungan itu sewajarnya berlaku. Kita mempunyai terlalu banyak (pemaju) yang saya rasakan ada lebih seratus (pemaju).
“Perkara baik mengenainya (banyak pemaju) ialah semua orang bersungguh-sungguh di dalam industri ini dan masyarakat mendapat manfaat daripadanya dengan perbandaran yang cantik, reka bentuk menarik dan sebagainya.
“Semua ini adalah bagus, tetapi dari segi kemapanan (jangka panjang), kerajaan perlu melihatnya dengan teliti. Jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan lesen (pemaju). Jika tidak, kami akan saling memusnahkan diri antara satu sama lain,” katanya.