Bank Negara Malaysia mendapati berlaku sedikit penurunan dalam jumlah rumah tidak dijual di negara ini dan penawarannya dijangka mencapai keseimbangan dari segi harga.
Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata antara faktor yang membawa kepada keseimbangan adalah pelancaran rumah baharu ketika ini yang semakin tertumpu kepada segmen harga mampu milik.
Katanya, berdasarkan perangkaan sedia ada, jumlah hartanah tidak terjual berkurangan pada suku ketiga 2019 kepada 162,000 unit berbanding 174,000 unit pada suku kedua 2019.
“Terdapat sedikit penurunan dalam jumlah rumah tidak terjual. Dengan lebih banyak pelancaran baharu membabitkan segmen mampu milik akan membantu menstabilkan situasi rumah tidak terjual,” katanya.