Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penubuhan Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion untuk membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara bagi membiayai pembelian rumah pertama mereka.
Menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini, dana berkenaan akan tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.
“Di bawah dana ini, pembeli rumah yang layak boleh mendapatkan pembiayaan (konvensional atau Islam) pada kadar konsesi di institusi kewangan yang mengambil bahagian,” katanya dan menyenaraikan institusi kewangan yang mengambil bahagian ialah AmBank, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.