CBRE WTW menyifatkan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada 2 November lalu secara keseluruhannya adalah sebagai bersifat ‘neutral’ terhadap industri hartanah tempatan. Malah, pentadbiran Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengguna pakai semula pendekatan diambil Perdana Menteri sewaktu krisis kewangan 1997/98 yang mana langkah diambil kerajaan untuk meningkatkan pasaran hartanah adalah menerusi pengecualian duti setem.
Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen, berkata ia dapat dilihat di dalam belanjawan kali ini menerusi cadangan pengecualian duti setem sebanyak RM300,000 pertama bagi harga rumah di bawah RM500,000 untuk pembeli dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM5,000.
Katanya, cadangan yang akan dilaksanakan bagi 2019 dan 2020 itu menjadikan halangan untuk membeli rumah menjadi lebih rendah kerana komitmen membayar pendahuluan akan dikurangkan.