Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 dilancarkan semalam, untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan perumahan yang tidak seimbang serta ketidakmampuan rakyat membeli rumah pada harga pasaran.
Dasar itu juga bermatlamat mengatasi kelemahan industri perumahan ketika ini yang tidak berinovasi, selain tiada sistem bersepadu untuk memastikan penawaran dan permintaan adalah sepadan.
Untuk mencapai matlamat itu dalam tempoh tujuh tahun lagi, DRN setebal 162 muka surat menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.
Lima fokus itu ialah membina rumah berkualiti, menambah baik aksesibiliti dan tahap kemampuan rakyat memiliki rumah, kejiranan berkualiti, koordinasi antara perumahan dan pembangunan pengangkutan serta memperkukuh institusi berkaitan mencapai matlamat dasar berkenaan.
Dasar itu dirangka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas mendapati penawaran rumah di bandar lebih menjurus kepada perumahan kos tinggi, sedangkan permintaan lebih menjurus ke arah rumah kos rendah dan mampu milik.